Rabu, 08 April 2009

hAMAS DAN FATAH

(copy paste from blog http://www.ulamaummah.blogspot.com)

Oleh : Haji Muhyiddin bin Haji Hasyim



(artikel dari blog Ustaz Nasruddin Tantawi.)
Pendahuluan :

Pertumpahan darah yang berlaku di antara pejuang Hamas dan Fatah sememangnya merupakan suatu perkara yang sangat mengejutkan dunia Islam. Dalam berhadapan dengan musuh yang sebenar iaitu Amerika dan Israel, tiba-tiba kita dikhabarkan dengan peristiwa ini yang berakhir dengan penguasaan Hamas terhadap Genting Gaza.

Pelbagai komen dan pandangan terhadap pertumpahan darah tersebut. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang mengkritik sebagaimana yang dilakukan oleh Hizbu Tahrir dalam risalahnya.

Hizbu Tahrir dalam risalahnya menyatakan kekesalan dengan apa yang berlaku dan menganggap bahawa peperangan dan pertumpahan darah sesama umat Islam di Palestin tidak syarie dan berlanggar dengan lunas-lunas Islam.

Hizbu Tahrir menganggap pertumpahan darah ini membantu kepentingan Amerika, Eropah dan Yahudi di Palestin. Mereka juga menganggap bahawa pertumpahan darah yang berlaku ini adalah kerana ingin merebut kuasa untuk menjadi menteri dan ahli parlimen walaupun kuasa yang ada tidak lebih hanya berada di bawah pengaruh Yahudi. Keterbatasan kuasa ini dianggap sebagai perkara yang terlalu kecil sehingga boleh menyebabkan persengketaan ini.

Disamping itu Hizbu Tahrir mengkritik apa yang dilakukan oleh Hamas dan Fatah apabila mereka melakukan gencatan senjata dan berunding dengan Yahudi kerana menganggap gencatan senjata dan rundingan tersebut adalah suatu pengiktirafan terhadap kependudukan Yahudi di bumi Palestin.

Jika difikirkan secara sepintas lalu, tidak dapat dinafikan bahawa pandangan dan kritikan Hizbu Tahrir ini mempunyai kebenarannya tetapi bagi sesiapa yang melihat secara mendalam dan berfakta apa yang berlaku pastinya tidak dapat menerima kritikan tersebut khususnya tuduhan yang dilemparkan kepada pejuang Hamas.

Latar belakang sejarah persengketaan Hamas dan Fatah :

Persengketaan yang berlaku di antara Hamas dan Fatah adalah bukan perkara baru bagi umat Islam secara umumnya dan penduduk Palestin secara khususnya. Perbezaan ideologi dan pendekatan menjadi sebab kepada persengketaan ini.

Umum mengetahui bahawa Hamas sejak ditubuhkan oleh Syeikh Ahmad Yasin meletakkan Islam sebagai rujukan dalam setiap aspek tindakan yang ingin diambil dalam berhadapan dengan Israel dan Amerika. Pengaruh Ikhwanul Muslimin Mesir sangat kuat di dalam pertubuhan ini. Mereka menolak pengiktirafan terhadap negara entiti haram Israel dan mengambil pendekatan bersenjata dalam menghalau Israel dari bumi Palestin.

Ada pun Fatah, mereka meletakkan ideologi kebangsaan sebagai landasan perjuangan dan bersedia untuk mengiktiraf negara Israel. Mereka sanggup untuk berdamai dan berbincang dengan Israel walaupun diketahui bahawa Israel tidak pernah setia terhadap perjanjian dan perdamaian yang dimeteraikan tersebut. Umat Islam di Palestin terus dibunuh dan disembelih, rumah-rumah mereka diroboh dan mereka dihalau dari tanah air mereka sendiri.

Perbezaan ideologi dan pendekatan inilah yang menyebabkan persengketaan terus berlaku. Ketika Fatah menguasai kerajaan Palestin suatu ketika dahulu, banyak tindakan yang diambil memihak kepada Amerika dan Israel. Antaranya mereka menangkap pejuang-pejuang Hamas yang berjuang menentang Israel atas nama menjaga perjanjian yang dimeterai di antara mereka.

Pertelingkahan di antara Hamas dan Fatah semakin meruncing apabila Hamas berjaya membentuk kerajaan mengalahkan Fatah di dalam pilihanraya umum negara tersebut pada bulan Januari 2006. Kemenangan ini sememangnya tidak dapat diterima oleh Fatah apatah lagi Yahudi dan sekutunya Amerika.

Pelbagai sekatan dan usaha untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat tersebut. Pemberhentian bantuan kewangan oleh Eropah dan Amerika tidak melemahkan semangat Hamas untuk terus menerajui kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

Hamas menyedari bahawa usaha untuk menghalau Israel dari bumi Palestin tidak akan berjaya sekiranya pejuang-pejuang pembebasan bertelingkah sesama sendiri. Justeru, Hamas yang berjaya membentuk kerajaan telah mengajak pertubuhan-pertubuhan lain termasuk Fatah untuk bersama-sama di dalam kerajaan perpaduan dan akhirnya termeterailah perjanjian Makkah yang menjadi sejarah kepada penduduk Palestin.

Perjanjian Makkah ini menjawab tohmahan yang menyatakan bahawa Hamas tidak berusaha untuk mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat Palestin dalam usaha menghadapi musuhnya yang sebenar iaitu Israel. Pun begitu, masih timbul lagi persoalan bagaimana masih boleh berlaku pertumpahan darah walaupun perjanjian Makkah telah dimeterai di antara kedua-dua pihak.

Pertumpahan darah di antara Hamas dan Fatah :

Walaupun kerajaan perpaduan telah terbentuk, masih terdapat usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu di dalam Fatah untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Hamas. Mereka mendapat bantuan kewangan dan senjata daripada Israel mahupun Amerika di dalam usaha tersebut.

Perlu ditegaskan bahawa usaha untuk menggulingkan kerajaan Hamas ini dirancang oleh sebahagian sahaja dari kalangan pimpinan Fatah seperti Penasihat Keselamatan Palestin, Mohammad Dahlan dan lain-lain lagi.

Perkara ini dikuatkan lagi dengan kenyataan oleh salah seorang pemimpin Fatah sendiri iaitu Farouk Qadumi, Setiausaha Sulit Fatah yang tidak bersetuju dengan perlantikan Mohammad Dahlan sebagai penasihat keselamatan dan menolak usaha untuk menggulingkan kerajaan Hamas. Beliau menyebut bahawa sebahagian besar daripada pengikut Fatah inginkan kesatuan dan ingin bekerjasama dengan Hamas.

Walaupun demikian, peperangan demi peperangan berlaku di antara kedua-dua pihak hasil daripada usaha jahat yang dilakukan beberapa pimpinan Fatah yang ingin menggulingkan kerajaan Hamas.

Antara usaha yang dilakukan oleh mereka ialah usaha untuk membunuh Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyyah yang ketika itu dalam perjalanan pulang dari lawatan rasmi yang pertama ke luar negara pada bulan Februari yang lepas. Mereka menyerang rombongan perdana menteri tersebut tetapi telah dipatahkan oleh pejuang-pejuang Hamas yang terus mempertahankan kerajaan Islam Hamas.

Pertumpahan darah yang berlaku ini akhirnya membawa kepada penguasaan sepenuhnya Hamas terhadap Genting Gaza baru-baru ini. Pejabat keselamatan Palestin di bawah Fatah telah ditawan oleh Hamas dan beberapa orang pimpinan Fatah telah dibunuh.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Hamas, tindakan mereka menguasai pejabat keselamatan Palestin di bawah Fatah adalah untuk menghapuskan anasir jahat di dalam pertubuhan itu yang ingin menggulingkan kerajaan Hamas.

Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyyah dalam kenyataannya menyebut bahawa tindakan tersebut adalah untuk mempetahankan kerajaannya. Ini terbukti apabila pejuang Hamas telah menjumpai dokumen-dokumen sulit di pejabat keselamatan Palestin tersebut senarai nama pimpinan Fatah yang bekerja untuk membunuh tokoh-tokoh tertentu di kalangan pimpinan Palestin termasuk bekerjasama dengan pihak Mosad Israel.

Turut dijumpai juga dokumen rahsia tentang pembunuhan Presiden Palestin yang pertama iaitu Yasir Arafat oleh Mohammad Dahlan, cubaan membunuh Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyyah dan serangan terhadap rombongan keselamatan Mesir di Genting Gaza.

Walaupun Hamas telah berjaya menguasai Genting Gaza, mereka tidak menutup pintu rundingan dengan Fatah bagi meneruskan kerajaan perpaduan yang telah dibina melalui Perjanjian Makkah.

Pertumpahan darah antara Hamas dan Fatah dari sudut pandangan Islam :

Jika dilihat kepada pertumpahan darah yang berlaku di antara Hamas dan Fatah ini, sebenarnya ia adalah peperangan yang melibatkan di antara sebuah kerajaan dengan pemberontak yang ingin menggulingkannya. Di dalam Islam ia disebut sebagai golongan bughoh.

Di dalam fiqh Islam, seorang yang dianggap bughoh boleh diperangi oleh kerajaan Islam yang memerintah ketika itu. Perkara ini berlaku ketika zaman Saidina Ali bin Abu Talib yang telah dilantik menjadi khalifah menggantikan Saidina Othman bin Affan.

Saidina Ali telah berijtihad mengganggap bahawa Saidina Muawiyyah adalah termasuk dari kalangan ahli bughoh apabila tidak ingin memberi baiah kepadanya sebagai khalifah. Rentetan daripada itu, Saidina Ali telah menyiapkan bala tentera untuk memerangi Saidina Muawiyyah yang ketika itu menjadi gabenor di Syam. Maka berlakulah pertumpahan darah di antara tentera Saidina Ali dan Saidina Muawiyyah di Siffin pada tahun 36 Hijriah.

Jika diperhatikan peristiwa yang berlaku di antara Saidina Ali dan Saidina Muawiyyah ini, pastinya kita akan merasakan bahawa ia tidak sepatutnya terjadi apatah lagi kedua-duanya adalah sahabat Nabi Muhammad s.a.w. Apa pun keadaannya, tindakan Saidina Ali tersebut dianggap bertepatan dengan hukum Islam yang membolehkan kerajaan Islam memerangi ahli bughoh.

Jika diperhatikan kepada pertumpahan darah yang berlaku di antara pejuang Hamas dan Fatah pula, maka kita akan dapati bahawa tindakan Hamas memerangi Fatah yang ingin menggulingkan kerajaannya adalah bertepatan dengan hukum Islam.

Fatah boleh dianggap sebagai ahli bughoh yang halal darahnya kerana ingin menggulingkan kerajaan yang dipimpin oleh Hamas. Walaupun pada zahirnya tindakan ini dilihat agak keterlaluan tetapi secara tersiratnya adalah untuk menghapuskan musuh dalam selimut dan memperkukuhkan kesatuan yang telah terbina. Oleh kerana itulah, walaupun Hamas berjaya menguasai Genting Gaza, mereka bersedia untuk berunding semula dengan Fatah dan menolak untuk mendirikan kerajaan yang berasingan di Genting Gaza.

Dakwaan Hizbu Tahrir bahawa pertumpahan darah yang berlaku di antara Hamas dan Fatah kerana berebut kuasa dengan melupakan musuh yang sebenarnya iaitu Israel dan Amerika adalah lari daripada fakta yang jelas.

Ini adalah kerana Hamas mengetahui siapa sebenarnya musuh mereka dan juga mengetahui siapa pula musuh dalam selimut yang boleh melemahkan perjuangan rakyat Palestin untuk menghalau Israel dari bumi mereka. Menghapuskan musuh dalam selimut adalah perkara yang penting bagi berhadapan dengan musuh yang sebenar.

Di samping itu, kita bersetuju dengan Hizbu Tahrir yang menganggap Fatah mengiktiraf negara haram Israel apabila mereka berunding dengan Israel tetapi kita tidak bersetuju jika dikatakan bahawa Hamas turut mengiktiraf negara haram Israel apabila mengadakan gencatan senjata memerangi Israel.

Tindakan mengadakan gencatan senjata ini tidak bermakna mengiktiraf negara entiti haram Israel tersebut sebagaimana dakwaan Hizbu Tahrir. Ini adalah kerana Hamas begitu bertegas dalam masalah pengiktirafan ini walaupun kerajaan yang dipimpinnya dipulau dan dikepung oleh Eropah dan Amerika disebabkan ketegasannya tersebut.

Gencatan senjata yang dilakukan hanyalah untuk sementara waktu sahaja bagi mengumpulkan kekuatan serta mengatur strategi berhadapan dengan Israel pada masa akan datang.

Kesimpulan :

Kesimpulannya, pertumpahan darah yang berlaku antara Hamas dan Fatah adalah merupakan suatu fitnah yang sangat besar di dalam perjuangan untuk membebaskan Palestin dari cengkaman Yahudi. Pun begitu, pertumpahan darah ini berlaku dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh syariat Islam apabila kerajaan yang dibentuk oleh Hamas dengan sewenang-wenangnya ingin digulingkan oleh anasir jahat di dalam Fatah.

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar

teman yang baik mari tukar link untuk menaikkan PageRank Silahkan copy paste
------------------------------------
http://iklanbarisgratistop.com
------------------------------------
di blog anda ,dalam 1x24 jam akan segera di respon..
salam